Maya Matahari Telah Kembali ke Rahmatullah

Dukacita dimaklumkan, Penyanyi Myanaliza Binti Ruslee yang lebih dikenali sebagai Maya Matahari telahpun menghembuskan nafas terakhirnya pada 18 Mac disebabkan oleh kanser yang dihidapi sejak sekian lama.

Salam Takziah daripada CuteCarry. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. 

Myanaliza binti Ruslee merupakan seorang penyanyi dan juga pelakon di Malaysia. Beliau telah dilahirkan pada 13 Mei 1976 di Johor Bahru, Johor. Beliau pernah berkahwin pada 26 Jun 2009 dengan kerabat di raja Pahang,  Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz dan perkahwinan mereka hanya bertahan sehingga Ogos 2015 tanpa cahaya mata.

Bunga-bunga matahari

Anggun mekar

Di taman sari

Warna jingga

Suntingan hati

Bagai tanda

Kasih bersemi..

Itulah lirik lagu yang masih melekat dalam kepala sebab lagunya yang berjudul ‘Matahari’ pernah meletop ketika beliau melancarkan album pertama beliau pada 25 Mac 1995. Dua buah album kemudian menyusul dalam kerjaya seni beliau iaitu “Diari Biru” dan “Mata”.

Bukan menyanyi je, tapi beliau turut menceburi bidang lakonan sama ada layar perak dan pementasan. Selepas kejayaan beliau berlakon dalam filem Gemerlapan pada tahun 1997, diberi peluang berlakon teater Nyiur Gading Puncak Mahligai, Uda & Dara, Seruan Damai dan Hotel Malaya serta banyak lagi drama dan sitkom televisyen dan pada 2018, beliau membuat kemunculan kembali dengan lagu terbaru “Perlu Ada Setia” dan pada masa yang sama menjadi peserta Gegar Vaganza musim yang kelima.

Maya Matahari merupakan seorang yang ceria dan disenangi semua.  Ketika memerangi kanser dalam tubuh, beliau banyak mendiamkan diri.  Ternyata sambil diam-diam, beliau membuat rawatan hingga ke negara China.