Ibu: Hamba atau Idola?

Setiap tahun hari itu akan datang. Bukan Hari Jadi, jauh sekali Hari Raya, tetapi hari istimewa yang dimaksudkan ialah Hari Ibu. Jatuh pada Ahad minggu kedua setiap bulan Mei, Hari Ibu disambut meriah di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Bukan itu sahaja. Hari Ibu juga merupakan salah satu perayaan bermusim yang sering ditunggu-tunggu oleh pihak peruncit (retailer) kerana pada Hari Ibu, jualan barangan dan perkhidmatan sudah pasti akan melambung berganda-ganda, justeru mengakibatkan  para pengeluar produk berpusu-pusu memenuhkan pasaran dengan lambakan barangan edisi terhad (limited edition) yang hanya dikeluarkan di kala Hari Ibu sahaja. Seperti insan-insan lain yang bergelar wanita, menjadi ibu bukanlah perkara yang mudah dan dapat dilakukan dalam tempoh semalaman sahaja. Ia memerlukan seseorang wanita itu untuk bersiap siaga dari segala segi – jiwa, mental, fizikal, emosi dan sebagainya.  Selain daripada itu, tugas seorang ibu juga bukan sahaja terbatas kepada melahir, menjaga, membesarkan anak dan mengurus keperluan rumahtangga. Dewasa ini, peranan seorang ibu telah mengalami evolusi melangkaui jangkauan. Pandangan sinis bahawa “tempat wanita adalah di dapur” sudah lapuk di telan zaman. Sebaliknya, golongan wanita kini lebih dihormati dan disegani oleh dunia apabila ramai ibu-ibu moden telah berjaya menempa nama dan kejayaan dalam bidang kerjaya pilihan mereka. Justeru, selain boleh bekerja secara professional dan bijak, memimpin sesebuah organisasi dengan cemerlang serta diangkat menjadi idola sanjungan segenap lapisan masyarakat, ibu-ibu bekerjaya juga perlu tampil yakin dan berketrampilan dengan gaya serta keperibadian yang bersesuaian dengan tuntutan profesi mereka. Namun begitu, sesibuk mana mereka ketika di pejabat atau di lokasi, si ibu sudah pasti tidak akan mengendahkan perjalanan hidup keluarganya, biarpun berkemampuan untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah dan pengasuh. Seorang ibu yang penyayang pasti akan mempunyai masa untuk diluang bersama keluarga tersayang. Apabila petang menjelang, si ibu dengan setia akan pulang ke rumah dan menggalas tugas seterusnya, iaitu menjadi suri hidup sesebuah keluarga bahagia. Jadi, benarlah kata mereka: Di zaman moden ini, tugas seorang wanita tak akan pernah selesai. Selamat Hari Ibu dari Cutecarry!