This is another syndrome of shameless attention seeker.
This is the link
http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_05.htm
Obses fesyen terbaru

DUNIA fesyen bagaikan sudah sebati dalam jiwa pemuda yang selesa dirinya dipanggil Bjork. Nama sebenarnya ialah Hafiz Mustapha. Sejak dulu lagi, dia gemar menjadikan fesyen sebagai hobi dan sebahagian keperluan dirinya.
Baginya, sesiapa sahaja boleh mengkritik atau berbicara tentang fesyen mengikut pandangan masing-masing. Begitu juga, Bjork tidak ketinggalan mengikuti apa juga fesyen terbaru yang dirasakan menarik perhatiannya.
Memiliki blog sendiri yang dibangunkan pada tahun lalu, anda pasti tertarik apabila berpeluang melawat laman tersebut. Ini kerana keseluruhan blog yang menggunakan bahasa Inggeris itu dipenuhi dengan pelbagai maklumat mengenai dunia fesyen.
Ia bukan hanya memfokuskan kepada fesyen yang dipadankan oleh selebriti tempatan atau luar negara, malah turut memaparkan jenama daripada pereka-pereka terkenal.
Apabila ada sahaja produk terbaru dilancarkan, Bjork pasti akan cuba menghuraikan tentang produk berkenaan.
“Saya amat menggemari dunia fesyen. Rasanya blog sebegini tidak banyak yang lahir daripada blogger tempatan. Itu yang membuatkan saya bersemangat untuk memajukan www.cutecarry.com,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menjadi seorang blogger bukannya kerjaya sepenuh masa Bjork. Sebaliknya, dia merupakan seorang kakitangan di sebuah organisasi tempatan.
Disebabkan kerjayanya itu, Bjork berpeluang menambah pengetahuan berhubung fesyen kerana sering ke luar negara.
Itulah yang dikatakan rezeki. Di samping menguruskan hal kerja di luar negara, dia juga tidak melepaskan peluang untuk mencuci mata meninjau fesyen menarik di negara lain.
“Kerjaya saya membuatkan hobi dan pengetahuan saya berhubung fesyen menjadi lebih mantap. Ini kerana saya juga gemar menjadikan fesyen antarabangsa sebagai contoh.
“Namun jangan salah sangka. Meskipun fesyen ini dari negara Barat, ia tidak bermakna saya memilih fesyen yang tidak sesuai dengan budaya kita. Asalkan ia menarik dan tidak keterlaluan, saya akan masukkan ke dalam blog,” ujarnya.
Istimewa laman cutecarry
Apabila melayari blog Bjork, anda akan dilimpahi dengan pelbagai kategori fesyen. Misalnya, kotak yang terletak di sebelah kanan akan tertera beberapa kategori seperti pewangi, kosmetik, kasut, beg, jam dan banyak lagi.
“Kategori fesyen memang banyak. Saya bukan hanya fokus pada barangan lelaki, malah turut memaparkan barangan menarik bagi perempuan,” ujarnya.
Di samping itu, pautan lain yang membuatkan anda gembira melayarinya adalah barisan selebriti bersama perkembangan terbaru masing-masing.
Mudah sahaja apabila anda klik pada mana-mana selebriti kegemaran anda, pasti berita selebriti itu akan terpapar.
Antaranya ialah Lina Teoh, Bernard Chandran, Amy Search, Erra Fazira dan Camelia. Manakala bintang luar negara pula terdiri daripada Eva Herzigova, Catherine Zeta Jones, David Beckham, Kate Moss dan Katie Holmes.
“Saya ambil gambar melalui Internet dan kemudian meletakkannya di dalam blog saya. Tidak kira apa gambar sekali pun, saya akan huraikan fesyen mereka seperti beg tangan yang dipakai, kaca mata atau pakaian,” katanya.
Dalam pada itu, bagi mereka yang gemar membeli-belah, mereka juga akan menerima berita baru berhubung tarikh jualan murah. Menerusi laman cutecarry, e-mel mengenai jualan murah akan sentiasa dikemaskini.
Justeru, bagi anda yang gemar berbelanja secara bijak, jangan lupa untuk singgah di laman cutecarry untuk mengetahui berita terbaru.
“Jualan murah bukan sahaja diadakan di pusat membeli-belah, tetapi ia juga diadakan di tempat lain seperti hotel.
“Jadi, inilah peluang orang ramai untuk membeli-belah barangan berjenama pada harga tawaran murah,” ulasnya.
Popular di negara luar
Berasal dari Kuala Kangsar, Perak, Bjork yang masih bujang akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam sehari untuk meninjau blognya bagi menambah maklumat terkini. Lebih membanggakan, dia mula menerima maklumat daripada orang ramai terutama dari Indonesia.
Katanya, blognya mula menjadi sebutan di Indonesia apabila dia mengetengahkan fesyen yang dipakai oleh Manohara Odelia Pinot.
Gaya hidup mewah Manohara berjaya mencuri hatinya untuk memaparkan kisah kontroversi gadis itu dan apa yang dipakainya.
“Saya inginkan sesuatu yang berbeza. Biasanya, orang ramai atau blogger lain gemar memaparkan cerita panas Manohara. Saya pula tidak melakukan perkara yang sama.
“Apabila melihat Manohara, seorang yang bergaya, saya merasakan fesyen yang dikenakan itu amat sesuai sekiranya dipaparkan di laman cutecarry,” ceritanya penuh mesra.
Jelas Bjork lagi, disebabkan artikel berhubung Manohara, dia banyak menerima e-mel daripada pembaca dari Indonesia. Malah sehingga kini, mereka masih lagi berkomunikasi dengan Bjork tidak kira sama ada untuk berkongsi pendapat atau meminta pandangan.
“Memang seronok dapat maklum balas dari orang luar. Tetapi saya tidak bersikap keterlaluan apabila mengkritik gaya selebriti,” jelasnya
Selain itu, rezekinya semakin bertambah apabila minatnya itu mula membuka mata pelbagai pihak jenama dari luar yang tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kerana sudi memaparkan barangan baru keluaran mereka. – AQMAR ALLADAD